SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI GPMS CAWANGAN KHAS UTEM . INI WILAYAH KAMI , INI WILAYAH GPMS . BELAJAR TERUS BELAJAR .

9 Nov 2011

Siapa yang untung lebih?

(Sinar Harian, 22 Ogos 2011) 

Pada 10 Ogos 2011 saya tersentak membaca berita 41 pelajar mendapat biasiswa Sun-MAPCU (The Malaysian Association of Private Colleges & Universities) bernilai RM4.5 juta. Saya merasa amat pelik, kenapa tidak ada seorangpun penerimanya adalah dari kalangan orang Melayu (Islam)? Adakah tidak ada permohonan? Atau tidak ada yang layak? Atau pun memang polisinya hanya untuk pelajar bukan Melayu kerana mungkin ada yang beranggapan bahawa orang Melayu (Islam) telah dibantu kerajaan? 

Malangnya, tidak ada pertubuhan Melayu atau orang Melayu yang bersuara atau mendesak atau bertanyakan kenapa tidak ada pelajar Melayu yang mendapat biasiswa tersebut? Bayangkan jika semua pelajar Melayu mendapat biasiswa tersebut, apakah reaksi bukan Melayu? Sudah dapat dijangkakan. Heboh satu dunia. 

Inilah sifat Melayu yang saya puji, jarang sekali kiasu, apatah lagi menjadi ultra. Kiasu ini ada baik dan buruk. Jika langsung tidak ada kiasu, bagaimana kita mahu bersaing dengan orang lain. Buruknya pula, jika kiasu sampai kepada peringkat ekstrem, ia akan menimbulkan pelbagai masalah seperti yang berlaku pada hari ini. Pendek kata, kiasu perlu ada dalam diri kita, tetapi perlu digunakan pada tempatnya. Jika terus menerus kiasu sehingga menjadi ultra, kontroversi dan masalah tidak akan selesai. 

Misalnya, kontroversi biasiswa JPA terus berlaku saban tahun. Apabila senarai penerima biasiswa dikeluarkan, suara ultra kiasulah yang paling lantang. Mereka akan menyediakan senarai panjang calon-calon mereka yang dikatakan layak tetapi tidak tersenarai. Mereka tidak sedar, masih ramai pelajar Melayu yang layak juga tidak tersenarai. Jarang pula saya dengar ada NGO Melayu bertindak seperti ultra kiasu. Apakah benar nasib pelajar Melayu telah terbela? 

Tidak cukup dengan itu, biasiswa yayasan-yayasan negeri yang ditawarkan turut menjadi rebutan, terutama Yayasan Selangor. Ultra kiasu semakin mendesak supaya mereka juga diberikan peluang yang sama. Saya tidak nafikan hak setiap warganegara, tetapi biarlah berpada-pada, berpandukan kepada ‘formula’ dan garis panduan yang ada. 

Jika ada kalangan ahli mereka yang layak tidak dapat atau tercicir, maka hebohlah satu dunia, dengan mengatakan bahawa hak bangsanya dinafikan oleh agensi-agensi tersebut. Mereka akan mencanangkan berlaku diskriminasi. Kenapa perlu ada sistem kuota? Pendek kata, ini tidak adil, itu tidak adil, semuanya tidak adil selagi tidak berlaku fair and square. Tidak lama lagi, jika kerajaan mengiktiraf UEC (Unified Examination Certificate), yakni sijil yang dikeluarkan oleh sekolah persendirian Cina, perebutan dan persaingan akan menjadi semakin sengit, walaupun ada kalangan mereka yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi mendapat pangkat yang baik dalam peperiksaan. 

Isu ini sengaja dipolitikkan oleh ultra kiasu untuk mendapatkan sokongan walaupun hakikatnya pemberian biasiswa JPA adalah terjemahan kepada apa yang terkandung dalam kontrak sosial dan perlembagaan negara yang telah dipersetujui oleh semua kaum. Akibat tekanan dan desakan ini, ditambah pula kepentingan politik, kini pemberian biasiswa tidak lagi mengira kuota, tetapi berasaskan kepada merit peperiksaan semata-mata. Temuduga yang cuba dilakukan oleh JPA ditentang habis-habisan, kerana mereka tahu apa kelemahannya. 

Sebaliknya, jika mereka telah mendapat sebahagian besar bantuan tersebut, maka isu ini disenyapkan. Pada saya, jika mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan hak semua kaum, kenapa mereka tidak bersuara apabila tidak ada orang Melayu (Islam) tidak tersenarai sebagai penerima biasiswa Sun-MAPCU tersebut. 

Inilah strategi yang amat licik, biasiswa mereka, untuk mereka sahaja. Manakala biasiswa orang lain hendaklah dikongsi. IPTS untuk mereka sahaja (walaupun terbuka), IPTA mesti dikongsi bersama. Syarikat mereka untuk orang mereka sahaja, manakala syarikat kerajaan mesti dikongsi bersama. Dalam kata lain, hak orang lain mesti dikongsi, manakala hak sendiri untuk bangsa sendiri. 

Trend sebegini tidak akan berhenti setakat ini sahaja, ia akan bertali-temali dalam segala sektor dan profesion pekerjaan. Kesan jangka panjang amat tidak menguntung kita jika tidak ditangani dari sekarang. Syarikat-syarikat bukan Melayu (sektor swasta) akan mengambil graduan-graduan IPTS kepunyaan kaum tertentu. Manakala dalam sektor awam pula yang dikatakan dipenuhi oleh orang Melayu, perlu dibuka kepada semua kaum. 

Setiap parti politik berasaskan akan menjadi mata dan telinga atau watch dog dalam jabatan kerajaan. Mereka akan melihat segala ruang dan peluang untuk memberikan yang terbaik kepada kaumnya. Jika ada yang pincang, mereka akan keluar sebagai jaguh. Jika ‘formula’ ini terus dibiarkan berjalan, akhirnya nanti, siapa yang untung, siapa yang rugi? Janganlah dibincangkan keuntungan dalam jangka masa panjang. 

Saya amat yakin, apabila dicampur tolak nanti, keputusannya tidak banyak berpihak kepada Melayu dan bumiputera. Puncanya kerana kita tidak menguasai ekonomi. Akibatnya, pribumi terpaksa berpaut atau bergantung kepada kerajaan. Justeru, kerajaan perlu melihat perkara ini dengan serius. Kepentingan jangka pendek tidak akan kekal lama berbanding kepentingan jangka panjang. Justeru, hari ini kita perlu bangkit, apa yang menjadi hak kita, mesti diperjuangkan, kita boleh senyap atau mengalah sahaja. Memang sifat ini baik, tetapi untuk berhadapan dengan ultra kiasu, kita mesti juga turut agresif. 

Sebenarnya, saya tidak mahu melakukan tolak campur ini, tetapi perkembangan mutakhir ini menjadi saya begitu teruja. Lebih serius lagi hari ini kebanyakan ahli-ahli perniagaan, dan jutawan bangsa-bangsa tertentu mencurahkan segala derma dan sumbangannya kepada IPTS berasaskan bangsanya yang sahaja. Mereka juga mendapat pengecualian cukai. 

Akhirnya nanti, cukai pendapatan akan menjadi semakin kurang. Sudah tentu ia akan meninggalkan kesan kepada IPTA. IPTA-IPTA yang begitu banyak terpaksa berkongsi peruntukan kerajaan. Sedangkan IPTS mendapat bantuan mencurah-curah daripada hartawan dan jutawan berasaskan kaum. 

Saya yakin, dalam jangkamasa panjang, IPTA tidak akan mampu bersaing dengan IPTS berasaskan kaum. Tidak perlulah saya berbicara soal IPTA antarabangsa, sudah tentu kabelnya lebih besar. 

Pengajaran yang lalu perlu diambil sebagai iktibar. Ia amat dituntut dalam Islam. Misalnya, kedudukan Bahasa Melayu. Saya telah pergi ke sebuah bank yang baharu sahaja melakukan penggabungan. Polisi bank tersebut, adalah pertama bahasa Inggeris, kedua bahasa Mandarin dan ketiga lain-lain bahasa. Petunjuk atau papan tanda dalam bahasa Melayu dalam bank tersebut hampir tiada, kecuali dua atau tiga orang pekerja kaunter sahaja yang berbangsa Melayu. Itupun mereka begitu berlagak menggunakan bahasa lain. Tidak lama lagi bahasa Melayu akan pupus. 

Justeru, di manakah slogan Malaysian first seperti yang dicanangkan. Apabila ada di antara kita yang berkata Malay first, heboh satu dunia menuduh orang ini rasis orang itu rasis. Tetapi apabila mereka mengenepikan agenda nasional, mengutamakan bangsa sendiri, itu bukan rasis namanya. Politik rimba apakah ini? Jangan jadi kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu. 

No comments:

Post a Comment