SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI GPMS CAWANGAN KHAS UTEM . INI WILAYAH KAMI , INI WILAYAH GPMS . BELAJAR TERUS BELAJAR .

28 Nov 2011

Kem Perkaderan

 بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم 



Alhamdulillah..selesai sudah program Kem Perkaderan yang berlangsung selama 3 hari 2 malam di Ulu Sepri Rembau. Program ini disertai oleh GPMS cawangan lain seperti KYM,Uni Razak dan UTeM sendiri. Penat memang penat tp berbaloi. Kira program ini dah berjaya dilaksana kan. Tak sia-sia pengarah program dan YDP Gpms UTeM bersusah payah menjalankan kerja mereka selama 2 bulan lebih. Terutama kepada YDP Gpms UTeM kerana sanggup mengorbankan masa cuty raya haji beliau hanya untuk memastikan semua benda dapat berjalan dgn lancar.  

Kepada fasilitator-fasilitator dan AJK-AJK yang terlibat. Tahniah di ucapkan atas kerjasama kamu semua dalam menjayakan program ini. Tak sia-sia kita semua tidak tido, ia mendatangkan kebaikan kepada kita.  Di harap pada masa hadapan, kita masih diberi peluang untuk menjalinkan kerjasama lagi. InsyaAllah. 


Kepada peserta-peserta yang terlibat dalam menjayakan program ini, ribuan terima kasih diucapkan. Kami sebagai fasi-fasi dan ajk-ajk yang terlibat ingin menyusun 10 jari meminta maap sekiranya ade salah n silap kami sepanjang program ini berlangsung. Di harap setelah anda menyertai kem perkaderan ini, anda dapat sedikit sebanyak input mengenai GPMS. Jangan lupe untuk menjadi ahli GPMS. 

Kepada YDP UTeM, jgn terlalu sedey yew kerana tidak dapat menyertai program kali ini. Diharap di lain masa, anda berpeluang untuk menyertainya bersama kami. InsyaAllah. ^_^


Akhir kata, Belajar Terus Belajar 


9 Nov 2011

Perjuangan Bahasa Ibunda

Ucapan tahniah dan syabas atas ketegasan Timbalan Perdana Menteri mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Inilah ciri-ciri pemimpin sejati. Mendengar suara rakyat dan berintegriti. 

Nyamuk-nyamuk yang menyangka dirinya kuat ini tidak perlu dilayan. Niat tersurat dan tersirat amat jelas, mahu meluntur bahasa Melayu dan jati diri Melayu. Berani dan berterus terang, tanpa ada rasa takut dan adab sopan. Pendapat dan pandangan pakar sudah tidak dipeduli, sikap ultra kiasu makin menjadi-jadi. Malang sekali, ada Melayu yang jadi batu api. 

Akhbar-akhbar bukan Melayu memberikan publisiti secara besar-besaran. Parti politik ultra kiasu semakin mendesak. Tidak menghairankan, kerana selama inipun mereka tidak pernah menghormati atau menghargai kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Lagipun tahap bahasa Melayu merekapun meragukan. Saban hari mereka berbahasa Inggeris dan bahasa ibunda. Amat jarang sekali sesama mereka berbahasa Melayu. Lebih menyedihkan, apabila Melayu bertemu dengan bukan Melayu, tiba-tiba accent (slang) bahasa Melayu terus bertukar menjadi slang bukan Melayu.

Saya tidak sedikitpun hairan jika pengerusi persatuan yang kononnya mewakili ibu bapa ini mendakwa mereka berjaya mengumpulkan lebih 100, 000 sokongan ibu bapa terhadap PPSMI sejak penubuhan petisyen online. Hatta, sehingga sejuta sekalipun, saya hanya akan tertawa sahaja melihat kedangkalan spesis ini, kerana kita tahu jenis orang yang mengundi. Apatah lagi jika mereka mendakwa mewakili 5.4 juta keluarga.

Mereka begitu yakin untuk memberikan kemenangan majoriti dua per tiga kepada Barisan Nasional (BN), sekiranya BN bersetuju dengan PPSMI. Terkejut beruk saya, kata orang muda hari ini. Aduh! kuat sungguh kuat persatuan yang baru setahun jagung ini sehingga dapat mempengaruhi berjuta-juta orang. Saya harap kerajaan tidak terpengaruh dengan kelentong kosong ini. 

Saya cadangkan ahli jawatan kuasa persatuan ini pergilah belajar ilmu-ilmu linguistik dan peradaban sebelum bercakap soal PPSMI. Kalau belum tamat pengajian, habiskan. Tidak perlu mengeluarkan kenyataan pengecut untuk mengundi Pakatan Rakyat. Kerajaan tidak perlulah risau jika mereka tidak mengundi BN. Adapun mereka tidak memberikan kesan, daripada membiarkan orang Melayu dan pejuang bahasa memberontak kerana jumlahnya lebih ramai. Jangan pedulikan desakan ultra kiasu di Pulau Pinang. Keadaan di sana sudah seperti Taiwan dan Hong Kong. Bahasa Melayu dan orang Melayu semakin tertekan. Jika diberikan mukapun, mereka tidak akan mengundi BN. Mereka ibarat sambil menyelam minum air. 

Saya amat pelik, kenapa PPSMI ini langsung tidak disentuh dari segi perlaksanaannya di sekolah vernakular seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) oleh ultra kiasu? Jika aliran kebangsaan yang diusik, ultra kiasu begitu bersungguh-sungguh mahu ianya diubah. Namun, bila pendidikan ibunda mereka diusik, maka melompatlah mereka ini ibarat cacing kepanasan. Semuanya bersatu, tidak kira MCA atau MIC. Masihkah kita buta? 

Saya ingin mencadangkan supaya kajian turut dibuat untuk melihat adakah mereka yang terlalu obses dengan PPSMI ini begitu berjaya dalam hidup dan boleh dijadikan contoh dalam memperkukuhkan jati diri kebangsaan? Jangan jadi lebih orang putih dari orang putih. Hidup sudah tidak kenal jati diri berbangsa apa dan agama apa, terutamanya orang Melayu. 

Apakah dengan kebolehan bahasa Inggeris, mereka ini telah diangkat memegang jawatan tinggi, atau sekadar mengharap ihsan ibu bapa yang bergelar dato atau mungkin datin? Ingatlah, kejayaan seseorang bukan bergantung kepada bahasa, walaupun tidak nafikan kepentingannya, jauh lebih penting adalah sikap dan perangai. Jika pandai bahasa Inggeris sekalipun, tetapi perangai dan jati diri Islam semakin jauh dari kehidupan, tidak ada ertinya. 

Kajilah kejayaan negara China dan Cina seberang laut. Apakah resepi kejayaan mereka? Ramai yang tidak boleh berbahasa Inggeris, tetapi berkat kerja keras dan usaha tidak jemu, mereka berjaya. Persoalan bahasa asing bukan terlalu kritikal yang menentukan hidup mati seseorang. Orang Cina tetap berkeyakinan bahawa bangsa dan bahasa Cina tetap boleh meninggikan dan meningkatkan kejayaan mereka. Inilah semangat Cina yang amat saya puji. Bukan seperti persatuan tersebut, langsung tidak yakin dengan keupayaan bangsa dan bahasa Melayu. Jika diri sendiri sudah memandang rendah kepada bangsa dan bahasa sendiri, janganlah harapkan orang lain menghormatinya. Orang lain hanya mengambil kesempatan, sebab sudah ada dalangnya. 

Dengan pupuskan jati diri Melayu dan bahasa Melayu, maka mudahlah untuk mereka mendominasi. Perancangan ini sudah lama berlaku. Bacalah sejarah Tanah Melayu, terutama berkaitan dengan evolusi pendidikan bahasa Melayu dan bukan Melayu. Jika tidak mahu membaca, mari saya ajarkan. Ramai kalangan kita hari ini yang buta sejarah apabila membincangkan isu bahasa. Inilah yang membutakan mata dan hati mereka sehingga sukar untuk melihat kebenaran dan kepentingan masa hadapan. 

Persatuan ini turut mendakwa bahawa pihak yang menentang PPSMI, keliru dan tidak faham konteks. PPSMI bukan bertujuan untuk memandaikan pelajar-pelajar sekolah dengan bahasa Inggeris tetapi lebih kepada mendedahkan mereka dengan istilah-istilah bahasa Inggeris yang digunakan dalam pengajian sains dan matematik. Kata mereka lagi, Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan German, Korea dan Perancis, kerana bahasa ibunda mereka jauh berada di hadapan, berbanding bahasa Melayu. 

Jawapan saya, jika begitu keadaannya, marilah kita mulakan bersama. Pertahankan bahasa kebangsaan, perkukuhkan bahasa Inggeris. Bukan sahaja bahasa Inggeris, tetapi juga bahasa-bahasa lain, terutama bahasa Arab. Jangan sampai lidah kita cair berbahasa Inggeris, tetapi menjadi kelu, pelat dan gagap apabila membaca al-Fatihah. Ingatlah, bahasa Arab bahasa syurga, bahasa Inggeris bahasa dunia? Paling baik, belajarlah kesemuanya. Jika tidak, sekurang-kurangnya hubungan dengan Allah selamat. Jangan ceritalah soal aurat. 

Saya hanya akan terpengaruh dengan persatuan ini jika mereka yang obses dengan bahasa Inggeris ini, dapat menjadi contoh untuk diikuti, yakni berjaya di dunia, berjaya di akhirat. Jati diri Melayu dan Islam kuat dan kental. Ini tidak, melihat kepada cara hidup dan rambutnya sudah memualkan. Ikutlah nasihat pakar yang begitu ramai di kementerian pelajaran dan pengajian tinggi. Pihak kerajaan sedang berusaha untuk memandaikan anak bangsa dengan bahasa Inggeris melalui kaedah yang betul bukan dengan merubah sistem. Tidakkah kita terasa malu dan terpukul apabila dalam pertandingan pidato bahasa Melayu peringkat antarabangsa baru-baru ini? Ternyata peserta-peserta dari negara luar begitu fasih berbahasa Melayu, sedangkan kita masih merangkak-rangkak untuk mencari jati dan kekuatan bahasa sendiri? Janganlah terlalu menegakkan benang basah.

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Siapa yang untung lebih?

(Sinar Harian, 22 Ogos 2011) 

Pada 10 Ogos 2011 saya tersentak membaca berita 41 pelajar mendapat biasiswa Sun-MAPCU (The Malaysian Association of Private Colleges & Universities) bernilai RM4.5 juta. Saya merasa amat pelik, kenapa tidak ada seorangpun penerimanya adalah dari kalangan orang Melayu (Islam)? Adakah tidak ada permohonan? Atau tidak ada yang layak? Atau pun memang polisinya hanya untuk pelajar bukan Melayu kerana mungkin ada yang beranggapan bahawa orang Melayu (Islam) telah dibantu kerajaan? 

Malangnya, tidak ada pertubuhan Melayu atau orang Melayu yang bersuara atau mendesak atau bertanyakan kenapa tidak ada pelajar Melayu yang mendapat biasiswa tersebut? Bayangkan jika semua pelajar Melayu mendapat biasiswa tersebut, apakah reaksi bukan Melayu? Sudah dapat dijangkakan. Heboh satu dunia. 

Inilah sifat Melayu yang saya puji, jarang sekali kiasu, apatah lagi menjadi ultra. Kiasu ini ada baik dan buruk. Jika langsung tidak ada kiasu, bagaimana kita mahu bersaing dengan orang lain. Buruknya pula, jika kiasu sampai kepada peringkat ekstrem, ia akan menimbulkan pelbagai masalah seperti yang berlaku pada hari ini. Pendek kata, kiasu perlu ada dalam diri kita, tetapi perlu digunakan pada tempatnya. Jika terus menerus kiasu sehingga menjadi ultra, kontroversi dan masalah tidak akan selesai. 

Misalnya, kontroversi biasiswa JPA terus berlaku saban tahun. Apabila senarai penerima biasiswa dikeluarkan, suara ultra kiasulah yang paling lantang. Mereka akan menyediakan senarai panjang calon-calon mereka yang dikatakan layak tetapi tidak tersenarai. Mereka tidak sedar, masih ramai pelajar Melayu yang layak juga tidak tersenarai. Jarang pula saya dengar ada NGO Melayu bertindak seperti ultra kiasu. Apakah benar nasib pelajar Melayu telah terbela? 

Tidak cukup dengan itu, biasiswa yayasan-yayasan negeri yang ditawarkan turut menjadi rebutan, terutama Yayasan Selangor. Ultra kiasu semakin mendesak supaya mereka juga diberikan peluang yang sama. Saya tidak nafikan hak setiap warganegara, tetapi biarlah berpada-pada, berpandukan kepada ‘formula’ dan garis panduan yang ada. 

Jika ada kalangan ahli mereka yang layak tidak dapat atau tercicir, maka hebohlah satu dunia, dengan mengatakan bahawa hak bangsanya dinafikan oleh agensi-agensi tersebut. Mereka akan mencanangkan berlaku diskriminasi. Kenapa perlu ada sistem kuota? Pendek kata, ini tidak adil, itu tidak adil, semuanya tidak adil selagi tidak berlaku fair and square. Tidak lama lagi, jika kerajaan mengiktiraf UEC (Unified Examination Certificate), yakni sijil yang dikeluarkan oleh sekolah persendirian Cina, perebutan dan persaingan akan menjadi semakin sengit, walaupun ada kalangan mereka yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi mendapat pangkat yang baik dalam peperiksaan. 

Isu ini sengaja dipolitikkan oleh ultra kiasu untuk mendapatkan sokongan walaupun hakikatnya pemberian biasiswa JPA adalah terjemahan kepada apa yang terkandung dalam kontrak sosial dan perlembagaan negara yang telah dipersetujui oleh semua kaum. Akibat tekanan dan desakan ini, ditambah pula kepentingan politik, kini pemberian biasiswa tidak lagi mengira kuota, tetapi berasaskan kepada merit peperiksaan semata-mata. Temuduga yang cuba dilakukan oleh JPA ditentang habis-habisan, kerana mereka tahu apa kelemahannya. 

Sebaliknya, jika mereka telah mendapat sebahagian besar bantuan tersebut, maka isu ini disenyapkan. Pada saya, jika mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan hak semua kaum, kenapa mereka tidak bersuara apabila tidak ada orang Melayu (Islam) tidak tersenarai sebagai penerima biasiswa Sun-MAPCU tersebut. 

Inilah strategi yang amat licik, biasiswa mereka, untuk mereka sahaja. Manakala biasiswa orang lain hendaklah dikongsi. IPTS untuk mereka sahaja (walaupun terbuka), IPTA mesti dikongsi bersama. Syarikat mereka untuk orang mereka sahaja, manakala syarikat kerajaan mesti dikongsi bersama. Dalam kata lain, hak orang lain mesti dikongsi, manakala hak sendiri untuk bangsa sendiri. 

Trend sebegini tidak akan berhenti setakat ini sahaja, ia akan bertali-temali dalam segala sektor dan profesion pekerjaan. Kesan jangka panjang amat tidak menguntung kita jika tidak ditangani dari sekarang. Syarikat-syarikat bukan Melayu (sektor swasta) akan mengambil graduan-graduan IPTS kepunyaan kaum tertentu. Manakala dalam sektor awam pula yang dikatakan dipenuhi oleh orang Melayu, perlu dibuka kepada semua kaum. 

Setiap parti politik berasaskan akan menjadi mata dan telinga atau watch dog dalam jabatan kerajaan. Mereka akan melihat segala ruang dan peluang untuk memberikan yang terbaik kepada kaumnya. Jika ada yang pincang, mereka akan keluar sebagai jaguh. Jika ‘formula’ ini terus dibiarkan berjalan, akhirnya nanti, siapa yang untung, siapa yang rugi? Janganlah dibincangkan keuntungan dalam jangka masa panjang. 

Saya amat yakin, apabila dicampur tolak nanti, keputusannya tidak banyak berpihak kepada Melayu dan bumiputera. Puncanya kerana kita tidak menguasai ekonomi. Akibatnya, pribumi terpaksa berpaut atau bergantung kepada kerajaan. Justeru, kerajaan perlu melihat perkara ini dengan serius. Kepentingan jangka pendek tidak akan kekal lama berbanding kepentingan jangka panjang. Justeru, hari ini kita perlu bangkit, apa yang menjadi hak kita, mesti diperjuangkan, kita boleh senyap atau mengalah sahaja. Memang sifat ini baik, tetapi untuk berhadapan dengan ultra kiasu, kita mesti juga turut agresif. 

Sebenarnya, saya tidak mahu melakukan tolak campur ini, tetapi perkembangan mutakhir ini menjadi saya begitu teruja. Lebih serius lagi hari ini kebanyakan ahli-ahli perniagaan, dan jutawan bangsa-bangsa tertentu mencurahkan segala derma dan sumbangannya kepada IPTS berasaskan bangsanya yang sahaja. Mereka juga mendapat pengecualian cukai. 

Akhirnya nanti, cukai pendapatan akan menjadi semakin kurang. Sudah tentu ia akan meninggalkan kesan kepada IPTA. IPTA-IPTA yang begitu banyak terpaksa berkongsi peruntukan kerajaan. Sedangkan IPTS mendapat bantuan mencurah-curah daripada hartawan dan jutawan berasaskan kaum. 

Saya yakin, dalam jangkamasa panjang, IPTA tidak akan mampu bersaing dengan IPTS berasaskan kaum. Tidak perlulah saya berbicara soal IPTA antarabangsa, sudah tentu kabelnya lebih besar. 

Pengajaran yang lalu perlu diambil sebagai iktibar. Ia amat dituntut dalam Islam. Misalnya, kedudukan Bahasa Melayu. Saya telah pergi ke sebuah bank yang baharu sahaja melakukan penggabungan. Polisi bank tersebut, adalah pertama bahasa Inggeris, kedua bahasa Mandarin dan ketiga lain-lain bahasa. Petunjuk atau papan tanda dalam bahasa Melayu dalam bank tersebut hampir tiada, kecuali dua atau tiga orang pekerja kaunter sahaja yang berbangsa Melayu. Itupun mereka begitu berlagak menggunakan bahasa lain. Tidak lama lagi bahasa Melayu akan pupus. 

Justeru, di manakah slogan Malaysian first seperti yang dicanangkan. Apabila ada di antara kita yang berkata Malay first, heboh satu dunia menuduh orang ini rasis orang itu rasis. Tetapi apabila mereka mengenepikan agenda nasional, mengutamakan bangsa sendiri, itu bukan rasis namanya. Politik rimba apakah ini? Jangan jadi kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu.